Halaman

Sabtu, 18 Mei 2013

Kemas Bilik

Entri last cerita pasal bebelan mama Pakcik ek? hehe.. Mood hari ibu la tu.. nanti ja la kita sambung cerita tu ya..

Hari ni Pakcik plan nak duk rumah ja. Kalau keluar pun mungkin sebelah pagi, dengan anak buah Pakcik jalan di pekan. Hilang juga boring. Kali ni nak bawa dia pi makan nasi lemak. Hehe.. Selagi ada kesempatan untuk manjakan budak-budak ni, Pakcik akan manjakan juga. 

Apa-apa hal pun, hari ni ialah hari untuk mengemas bilik Pakcik. Biasalah bilik bujang, jangan harap lah nak kemas dan teratur sentiasa. Tapi bilik Pakcik takdalah semak sangat pun, buku je yang bersepah atas meja n katil. Selain tu nak bincang dengan katering lagi untuk program kem mistik pada 24hb ni. lepas tu settle dah kerja-kerja persiapan kem. Alhamdulillah.. pihak RELA sangat memberi kerjasama dengan Pakcik.. Selama beberapa hari ini..

Ni nak pesan dengan bini Pakcik, minta tolong jaga hati Pakcik ya.. inshaa Allah.. Pakcik akan jaga hati sayang... ehem.. mood jiwang.. hehe

Pakcik cuma orang biasa...

Khamis, 16 Mei 2013

Bebelan Mama

Pakcik mengaku Pakcik juga sama dengan anak-anak lainnya, tak berapa gemar bila mama membebel. Pakcik sedar mama membebel bukan sebab apa, mama bebel sebab mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya, cuma Pakcik kadang-kadang Pakcik rasa dah tak sanggup dah nak tengok mama membebel dengan usia yang menjangkau 60 tahun Seakan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Begitulah perasaan Pakcik bilamama Pakcik membebel. Pakcik lemah, Pakcik takut terlawan cakap mama. Sebab Pakcik hanya ada satu mama yang melahirkan Pakcik. Sehingga pernah satu ketika masa sekolah menengah, jika mama masih ingat, Pakcik merayu dengan airmata pada mama supaya tidak terlalu kerap membebel kerana Pakcik risau adik-beradik yang lain , hilang sabar dan bertekak dengan mama. Jangan sampai menderhaka. 

Pakcik membesar dengan segala perhatian tertumpu kepada Pakcik kerana Pakcik anak bongsu dalam keluarga miskin yang bergantung harap dengan hasil tangkapan ikan dan upah menjahit pakaian. Teringat masa kecil Pakcik, masa mula zaman persekolahan , mama yang terlalu ketat peraturannya. Kalau bapa hanya sekali menampar abg, tapi mama setiap kali ponteng sekolah tanpa sebab, pasti rotan bambu akan singgah ke kaki. Zaman kanak-kanak yang tidak mungkin akan kembali lagi dan tidak akan sama lagi dengan zaman kanak-kanak sekarang.

Pakcik cukup berhati-hati untuk menjaga hati mama, sehingga pernah terfikir untuk berjauhan dengan mama semata-mata untuk tidak berlaku dosa sama ada sengaja atau tidak sengaja dengan mama. Namun bila dah berjauhan rasa macam tak berani pula nak tinggal mama sorang-sorang tanpa ada di depan mata. Abang Pakcik yang sulung pernah bagitau, dia kahwin dengan orang yang tak jauh antara sebabnya untuk sentiasa dekat dengan mama dan bapa. (Abang Pakcik kahwin dengan orang kampung sendiri). Pakcik memang kalau nak diikutkan memang tak boleh tanpa mama ada di depan mata Pakcik. Dia lah segalanya.. 

Esok pakcik sambung k... rasa haru pula... =) 

Pakcik cuma orang biasa..... 

Selasa, 14 Mei 2013

Untuk Orang

Assalamualaikum..

Pakcik tak tahu apa yang berlaku. Terasa seakan ada sesuatu yang sampai ke kemuncak. Apa ek?

Hari ini Pakcik akan bergegas ke mahkamah untuk sebenarnya Pakcik pun tak berapa jelas untuk apa sebenarnya. Inshaa Allah semuanya baik-baik belaka. Alhamdulillah.. Segalanya mungkin berada di landasan terbaik untuk menjadi realiti. Segala yang diusahakan untuk orang lain, seakan-akan sudah ada sinarnya. Sebenarnya bukan untuk orang lain pun, sebab bila orang lain senang hati, suasana persekitaran Pakcik pun akan jadi positif , secara tak langsung Pakcik pun akan jadi positif.

Iya. Positif.. Pakcik perlu positif dalam apa jua yang akan berlaku pada masa depan. Boleh jadi esok, atau minggu depan atau mungkin bulan depan, berlaku sesuatu yang diluar jangkaan kita, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapinya ? Kadang-kadang kebahagian orang lain, bukan kebahagiaan Pakcik. Tapi inshaa Allah.. Pakcik akan cuba juga untuk tersenyum demi kebahagiaan orang lain. 

Setiap hari terdetik dalam hati, apa tujuan hidup kita dijadikan begini dengan keadaan ini ya ? apakah hanya sekadar untuk diri sendiri tanpa perlu memikirkan orang lain atau makhluk lain atau bagaimana ? Setiap hari Pakcik melihat manusia hari ini semakin hari semakin alpa dengan hidup masing-masing. Ada yang terus hanyut terpekik melolong dalam diri sendiri tanpa ada satu manusia lain pun yang membantu. Di sudut lain pula, terdapat golongan yang begitu yakin dengan amalan dan ilmu mereka segera angkuh dan meninggi diri dengan hiasan kopiah seolah-olah mereka lah ahli syurga yang sudah jelas. Cuba lah sama-sama kita renungkan soalan yang selalu berlegar dalam fikiran Pakcik.. "Apakah kita yakin yang kita ini benar-benar orang beriman sedangkan kita belum diuji sebagaimana orang-orang yang terdahulu telah diuji?'

Pakcik mohon maaf kepada semua pihak yang bersama-sama Pakcik dalam apa juga ruang dan medan perjuangan yang tidak seberapa ini. Percayalah , Pakcik hanya mahu yang terbaik untuk orang lain, bukan untuk Pakcik semata-mata..kerana Pakcik yakin, dengan memberikan kebahagiaan kepada orang lain, Allah SWT juga akan memberikan kebahagiaan itu kepada Pakcik.. Cuma kebahagian itu masih belum mahu menjelma.. mungkin kerana dosa-dosa yang pernah Pakcik lakukan yang menghalang ianya untuk sampai. 

Pakcik cuma orang biasa....

Ahad, 12 Mei 2013

Hari Ibu

Hari ibu ek hari ini 12 Mei 2013 ?

Assalamualaikum dan salam sejahtera..Salam bahagia.. Dulu ada Pakcik dedahkan gambar botol yang berisi apa entah yang digunakan untuk "pedajal" keluarga Pakcik. Berada dalam kawasan rumah keluarga Pakcik. Entah bila entah golongan malaun tu letak barang tu. Memang licik.

Merenung cerita-cerita bapa-bapa saudara Pakcik dulu, benarlah apa yang mereka kata, yang pemakai ilmu-ilmu syaitan akan lebih ramai pada zaman moden ni. Dan hari ini bila dah dewasa sikit, Pakcik boleh lihat kebenarannya. Manusia lebih ramai tunduk kepada makhluk lain sedangkan merekalah khalifah, dan layak untuk memerintah dan sepatutnya semua makhluk di dunia tunduk kepada manusia. Manusia lah khalifah di dunia ini. Jadi kenapa perlu tunduk dengan makhluk lain yang bertujuan untuk menyesatkan kita ?

Pakcik rasa terkilan sangat sekiranya tak mampu untuk berbuat apa dengan masyarakat persekitaran Pakcik atau anak-anak Pakcik yang Pakcik tahu teramat-amatlah kurang pendedahan terhadap kesedaran agama sama lah macam Pakcik juga. Adakala terasa semacam Pakcik jauh dari Maha Pencipta Segalanya. Sifat manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Yang penting , bila dah buat silap, sila bertaubat dan tak buat silap lagi. Memang si malaun tu akan kuat berusaha untuk menyesatkan kita yang bersifat lemah, tapi sama-sama kita berserah dengan Tuhan ya. Semoga akhir nafas nanti, masih lagi kita mengaku yang Allah SWT itu lah Tuhan kita dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh Allah SWT.

Maaf ya.. Kali ini Pakcik seolah-olah Pakcik ni dah terer sangat dalam beragama. Bukan macam tu. Jangan salah anggap pula. Pakcik akui Pakcik terlalu kurang dalam bab-bab beragama. Pakcik tak dapat peluang untuk belajar agama secara formal semacam apa yang anak-anak Pakcik sekarang dapat. Alhamdulillah.. semakin ramai anak-anak sekarang belajar di sekolah-sekolah agama dan semakin berminat ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama. Maka untuk semua anak-anak, renung dan fikir-fikirlah untuk apa ilmu yang dipinjamkan oleh Tuhan. Adakah semua ilmu yang diberi itu mutlak milik kita, atau ada hak orang lain di dalamnya yang perlu kita sampaikan? Sama-sama kita renung ya... 

Dua tiga hari ni, emosi Pakcik tak stabil sangat. Letih barangkali. Mudah-mudahan Tuhan akan sentiasa bersama kita dalam susah dan senang. Kerana tidak semudah itu untuk menghaurngi perjalanan hidup ini walaupun sekadar persinggahan tapi tetap memenatkan dan menakutkan. Kerana akan ada perjalanan selepas itu yang sangat bergantung dengan apa yang berlaku di tempat persinggahan. Untuk anak-anak Pakcik, Pakcik nak bagitau... tak semudah itu memang tak semudah itu mengenalpasti hasutan syaitan dan bisikan malaikat... 

Pakcik cuma orang biasa... 

Sabtu, 11 Mei 2013

Rejab 1434H

Diam-diam dah sampai bulan Rejab ya kita.. cepat saja masa berlalu.. Seperti baru semalam Pakcik bersama-sama yang lain bertarawikh di surau. Sekarang kurang dari dua (2) bulan lagi, sekali lagi kita akan menyambut Ramadhan 1434H. Kata-kata orang, persiapan untuk mengharungi bulan Ramadhan iailah bulan Rejab dan Syaban.. Bulan latihan sebelum ujian sebenar... begitulah lebih kurang.

Baru tadi dapat tahu daripada abang Pakcik , ada surat makluman daripada ADO yang mengarahkan Ketua Kampung dan dua (2) orang lagi penama bersama Timbalan Pengerusi JKKK untuk hadir ke mahkamah pada hari Selasa , jam 9.00 pagi, untuk perbicaraan kes mereka. Pakcik tak tahu macamana nak gambarkan perasaan Pakcik, cuma yang Pakcik tahu, ada pihak lain yang mengambil kesempatan di atas perbalahan yang berlaku. Pihak yang lebih pakar dalam membuat "serangan hendap" dari semasa ke semasa untuk menjatuhkan lawan menggunakan "tangan gelap" yang diperolehi daripada "guru hitam"nya. Dan akhirnya antara kedua pihak yang bertelagah situasi "menang jadi abu, kalah jadi arang" sangat tepat untuk digunakan. Dunia-dunia.. Kalaulah kita lebih berperaturan, pasti masing-masing akan bertolak ansur dan lebih bertoleransi. Inshaa Allah Pakcik akan datang ke mahkamah, untuk tengok sendiri apa yang berlaku sebenarnya.. sebagai ingatan dan pengajaran pada masa depan.. 

Bulan mei ni macam-macam temuduga yang akan dihadiri oleh anak-anak Pakcik ya. Pakcik nak bagitau supaya tenang saja. Inshaa Allah.. kalau dah memang tertulis untuk kita, dan hak kita.. usaha sedikit pun akan jadi hak kita juga.. Pakcik nak kongsi petua untuk berhadapan dengan temuduga. Kat bawah ni korang baca lah yer... Petua guru Pakcik bagi ni.. 

Insyallah, bacalah ini pada sebotol mineral :

Bismillah......
Innahu min sulaiman
wainnahu bismillah hir roh manirahim
Alla taq lu alaiya waqtu ni
Muslimin na wal muslimat

Baca 21 x dan tiup dalam botol, esoknya nak temuduga , minumlah .

Buat di gula gula baca 3x dan makan waktu temuduga..inshaa Allah..

Pakcik syaratkan agar semua jangan lupa buat solat hajat, solat taubat dan apa saja yang patut supaya rasa lebih tenang. Petua untuk bertemuduga ni satu je... tenang.. tu je pun.. jadi untuk dapat tenang perlu buat apa ? hehehe..

Pakcik cuma orang biasa....

Khamis, 9 Mei 2013

Bapa Tampar

Pagi-pagi macam ni, terkenang satu kisah yang tak mungkin Pakcik lupa sehingga akhir hayat Pakcik. Kepada yang anak-anak dan sahabat sekalian, terutamanya anak-anak Pakcik, Pakcik tak tahulah apa perasaan Pakcik kalau kiranya ada sesuatu yang berlaku kepada anak-anak Pakcik. Pakcik harap anak-anak semua pandai-pandailah jaga diri ya. Apa yang mumy dan dady larang tu jangan terus buat tunjuk perasaan kah apa, tapi cuba duduk sekejap dan tanyakan pada diri kenapa mumy dan dady larang.

Pakcik hanya kongsikan apa yang Pakcik rasa dan pernah rasa. Selama hidup Pakcik, Pakcik hanya sekali kena penampar tangan bapa Pakcik. Masa tu Pakcik berkeras nak mandi sungai. Biasalah anak-anak zaman dulu, alam yang Tuhan anugerahkan ini lah yang jadi rakan sepermainan. Bukan seperti anak-anak zaman sekarang, semuanya berlegar dengan permainan smartphone dengan pelbagai perisian tertentu.

Masa hari bersejarah tu. Bapa Pakcik larang untuk Pakcik mandi sungai, tapi Pakcik tetap berkeras untuk mandi sungai juga dengan kawan-kawan sekampung masa tu secara sembunyi-sembunyi. Masa tu pula musim layang-layang. Memang meriahlah sungai jadinya. Bila dah seronok-seronok mandi tu, Pakcik pun balik lah ke rumah dengan keadaan basah kuyup. Sampai di rumah memang free-free lah dapat habuan daripada bapa. Tapak tangan sebelah kanan bapa menapak di pipi kanan Pakcik. Berpinar juga jadinya. haha. Itulah yang pertama dan yang terakhir Pakcik pernah makan penampar secara padu daripada bapa Pakcik. Memang lepas tu tak pernah rasa lagi dah dan tak mau rasa pun. 

Cerita tu Pakcik nak kongsikan supaya kita lebih banyak berfikir, kenapa mama dan bapa melarang sesuatu perkara yang kita rasa kita betul pada masa itu?. Memang jawapannya takkan terjawab sehinggalah Pakcik berada di mana Pakcik sekarang. Pakcik pasti yang perasaan mama dan bapa Pakcik masa tu, adalah sama dengan perasaan Pakcik kepada anak-anak Pakcik pada masa ini. Mama dan bapa Pakcik sudah tentu tidak mahu berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada Pakcik, dan begitu juga Pakcik, kalau boleh janganlah berlaku apa-apa yang tidak baik kepada anak-anak Pakcik. Pakcik belum cukup bersedia untuk mendengar perkhabaran sedih daripada anak-anak Pakcik sekiranya tiada di samping Pakcik. 

Setiap hari, berlaku bermacam peristiwa di dada-dada akhbar. Semoga tidak berlaku kepada kita. Biarpun sebelum ini Pakcik setelah dapat tahu ada tragedi yang berlaku kepada anak-anak Pakcik, Pakcik lelehkan airmata dalam senyap mengenangkan kalaulah berlaku apa-apa yang lebih teruk dengan anak-anak Pakcik yang Pakcik sayang, Pakcik tak tahu nak lepas geram dengan sapa masa tu... semoga kita dijauhkan daripada segala malapetaka dan sentiasa dalam keadaan baik selalu..

Pakcik cuma orang biasa..

Rabu, 8 Mei 2013

Ilmu Amal

Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? 

Memang betul tak kan sama antara dua jenis orang ini. Pakcik bukanlah nak menunjuk pandai, cuma seperti yang sahabat dan anak-anak faham, dalam blog ni Pakcik cuba untuk bermuhasabah diri Pakcik dan berkongsi dengan sahabat dan anak-anak Pakcik dari semasa ke semasa. Jangan salah anggap pula ya. 

Bagi Pakcik, orang-orang yang berilmu seharusnya mereka beramal dengan ilmu masing-masing. Kalau Pakcik berilmu dalam bidang buat perahu misalannya, seeloknya biarlah Pakcik yang buat kerja-kerja membuat perahu. Begitu juga sebaliknya, jika Pakcik mahir dalam kerja-kerja memasak, takkanlah Pakcik nak biarkan sahabat dan anak-anak yang tiada kemahiran memasak membuat kerja-kerja memasak kan ? Jadi Pakcik rasa kita tetap ada tanggungjawab masing-masing yang hanya perlu kita selidik sedikit dalam diri kita. 

Sahabat dan anak-anak Pakcik sekalian. Beruntunglah sekiranya anak-anak dan sahabat tergolong dalam golongan yang mengetahui, tak kira lah dalam apa bidang sekalipun, kerana hanya yang mengetahui yang mampu beramal dengan sempurna. Cuma Pakcik nak ingatkan, orang-orang yang berilmu ini punya satu lagi tangungjawab yang tidak ada pada orang-orang yang tidak berilmu, iaitu tanggungjawab menyebarkan ilmu. Anda tahu, tapi anda biarkan apa yang anda tahu diseret oleh kejahilan. Pada yang tidak mengetahui, bukan salah mereka untuk berbuat sesuatu perkara dengan tidak sempurna cuma mungkin kadang-kadang mereka telah sampai kepada had, dan di situ akan timbul keadaan dimana tanggungjawab bagi yang mengetahui untuk memberi mereka tahu. 

Rasa macam berbelit pula statement Pakcik malam ni. hehe. Pesanan Pakcik kepada anak-anak, sahabat dan diri Pakcik sendiri, "semakin besar periuk, semakin besarlah keraknya"... lebih tepat semakin kita berilmu, semakin besar tanggungjawab kita kepada bangsa dan agama.. Ilmu dikurniakan kepada kita bukan hanya untuk kita..begitu juga rezeki, rezeki dan ilmu yang dikurniakan kepada kita sebenarnya terkandung hak manusia lain di dalamnya. Boleh jadi kita hanya sebagai perantara untuk menyampaikan hak manusia lain. Maka berilah hak ini dengan bersedekah sebahagian rezeki dan mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Pakcik cuma orang biasa....